Sunday 22 April 2012

Permainan Gasing


Kembangkan Permainan Gasing Elak Pupus
                                   
WAKAF RAJA - Persatuan Gasing Uri Negeri Kelantan (PGNUK) perlu menjadi agen mengembangkan permainan gasing terbang bagi mengelak permainan tradisional ini luput ditelan zaman. Pengerusi PGUNK, Datuk Wan Mohd Najib Wan Mohamad berkata, jawatankuasa PGUNK mesti memberikan komitmen dengan memperkenalkan permainan ini kepada masyarakat. Menurutnya, permainan ini akan terus dimainkan sekiranya kemahiran yang dimiliki pemain diperturunkan kepada generasi baru.
“Semua pihak harus memainkan peranan dalam mengembangkan permainan ini ke peringkat antarabangsa dengan kerjasama jabatan berkenaan dan kita sepatutnya berbangga kerana memiliki permainan yang agak unik ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PGUNK Kali Ke-3 di sini, semalam. Majlis dirasmikan Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara Jabatan Warisan Negara, Siri Neng Buah itu turut menyaksikan pertandingan gasing yang melibatkan pemain daripada Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok.

Wan Mohd Najib berkata, peralatan untuk permainan itu boleh dijadikan produk untuk dijual peminat permainan ini atau sebagai cenderamata kepada pelancong. Di samping mengembangkan permainan gasing, ahli persatuan berupaya menambah pendapatan dengan menjual produk gasing. “Saya berharap peruntukan RM10,000 yang diterima daripada Jabatan Warisan Negara dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengembangkan lagi permainan ini sehingga ia dikenali ramai,” katanya. Sementara itu Setiausaha PGUNK, Nazife Ismail berkata, persatuan sentiasa berusaha memartabatkan permainan itu. Katanya, pihaknya sedang mengumpul data yang akan disalurkan ke jabatan berkenaan sebagai komitmen memperkenalkan permainan gasing di mata dunia. “Kita akan mewujudkan laman web sendiri tidak lama lagi bagi memudahkan orang ramai mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan PGUNK dan permainan gasing itu sendiri,” katanya."-Sinar Harian-"
 Sumber: http://ptjpp.kelantan.gov.my